Jumaat, 6 Ogos 2010

Selepas Abdullah, Najib pula sasaran Mahathir

KUALA LUMPUR : Bukan sahaja tidak bersetuju dengan dasar Islam Hadhari Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak senang dengan dasar 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak.

"Saya pun masih confused tentang 1 Malaysia," kata Tun Dr Mahathir dalam satu pertemuannya dengan Siasah di pejabat beliau yang terletak di Manara Berkembar Petronas baru-baru ini.

Demikian lapor akhbar politik Siasah dalam keluaran terbarunya yang akan berada di pasaran mulai Jumaat. Siasah menjadikan berita ini di muka depannya.

Dalam wawancara itu juga, Mahathir berkata, dia juga tidak bersetuju dengan Islam Hadhari yang dibawa oleh Abdullah.

Bagi beliau, Islam ini satu sahaja iaitu yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Dalam wawancara itu, Mahathir juga memberikan pandangannya tentang cadangan perpaduan antara Umno dan PAS. -Hrk

Saman Ekor: BN Hutang RM390,000 Kereta Exco

BN hutang RM390,000 saman ekor kereta Exco

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah kesal kerana terpaksa menjelaskan tunggakan saman ekor RM390,000 yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selagi tunggakan itu tidak dijelaskan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendaftarkan lima kereta rasmi kerajaan yang baru.

"Kita terpaksa gantikan kereta Proton Perdana V6 yang selama ini digunakan Exco Kerajaan Negeri kerana sering rosak. Kita beli lima kereta Toyota Camry tetapi kereta yang baru dibeli ini tidak boleh didaftarkan kerana ada masalah tunggakan saman ekor RM390,000 oleh kerajaan yang terdahulu. Ini satu pembaziran yang nyata," katanya.

Azizan berkata, lima kereta Toyota Camry itu dibeli untuk kegunaan Exco atas keperluan pentadbiran.

"Ini tidak membazirkan wang rakyat. Kereta Perdana V6 yang kita ambil alih daripada kerajaan terdahulu kini tidak lagi begitu elok, selalu rosak. Kos baiki akibat kerosakan yang kerap boleh jadi banyak kerana kereta semakin lama semakin teruk dan kosnya akan meningkat, manakala nilainya juga akan semakin jatuh.

"Kerana itu kita perlu tukar dan kereta ini sudah dibeli bulan lepas," katanya.

Azizan berkata, penggantian kereta rasmi ini akan dilakukan secara berperingkat, dan akan diserahkan kepada Exco berkenaan mengikut keutamaan keperluan.

“Saya bersyukur kerana setelah Pegawai Kewangan Negeri berunding dengan pihak berkenaan, segalanya dapat diselesaikan segera. Kereta - kereta itu kini dalam proses untuk didaftarkan dan kemungkinan dapat digunakan dalam bulan ini juga,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri agak terkilan kerana wang yang diperuntukkan mencecah ratusan ribu ringgit, walhal peruntukan itu dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, bagaimana pun pihaknya terpaksa akur dengan situasi kerana tidak mahu menanggung beban hutang. -SH

Rabu, 28 Julai 2010

Penemuan Mengejutkan Rangka Kapal Kayu Di Bawah Runtuhan WTC New York


18 July 2010
Penemuan mengejutkan rangka kapal kayu di bawah runtuhan ‘Ground Zero’ World Trade Center (WTC) New York pada Selas, 13 Julai 2010.

Ia adalah sebuah kapal yang dikatakan terbenam di situ semenjak tahun 1810, panjangnya sekitar 30 kaki dan ditemui terbenam sedalam 20-30 kaki dari permukaan jalan di halaman World Trade Center. Kapal itu juga dipercayaai dibina sekitar tahun 1700-an dan tidak pernah terusik selama 200 tahun. Sebuah peta 1797 menunjukkan bahawa tapak penggalian itu berhampiran tempat Lindsey's Wharf dan Tasik's Wharf. Namun kajian lanjut masih dijalankan.

Persoalannya juga bagaimana rangka kapal tersebut boleh berada di sana.

Ular Raksasa: Kita Ditipu Utusan Malaysia


28 July 2010

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini menyangkal laporan penemuan seekor ular raksasa di hutan Sungai Siput dekat sini baru-baru ini seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian.

Akhbar harian itu ialah Utusan Malaysia. Utusan Malaysia, bab ular-mengular ini, ia nombor satu. Tentang ular pun ia ingin menipu kita juga. Alahai.....geram ni, 'waa' pun dah bercerita kepada bebudak, ia ular Sungai Siput.

Cess....



Sumber: mStar

Khamis, 3 Jun 2010

Tiada Penerbangan Khas


Tiada Penerbangan Khas Bawa Pulang Sukarelawan, Kata Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain melibatkan kos yang tinggi, setakat ini tiada permintaan untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.

"Jika nak bawa guna Charlie (pesawat pengangkut), kosnya tinggi... jadi saya tidak nampak sebarang keperluan itu buat masa ini selain tidak ada permintaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Transformasi Mindef di Kementerian Pertahanan di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua 12 sukarelawan Malaysia itu turut dibantu oleh Atase pertahanan Malaysia di Jordan sebaik dilepaskan dari tahanan tentera Israel.

"Selain diberikan makan minum, kesemua mereka turut diterangkan atase pertahanan tentang beberapa langkah yang perlu diambil untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Dalam kejadian itu, kapal Turki yang membawa bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan ke Gaza telah diserang tentera Israel ketika berada kira-kira 68 batu nautika di luar perairan negara itu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani turut berada dalam kapal tersebut dan mereka dibebaskan dan dibawa ke Jordan.

Zahid turut menggesa negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel agar mengkaji semula hubungan tersebut bagi menentang tindakan Israel yang telah bertindak di luar garis-garis diplomatik.

Beliau berkata masyarakat dunia bukan hanya perlu mengutuk tindakan Israel tetapi perlu bertindak menghentikan hubungan diplomatik dengan negara tersebut yang biadap dan tidak berperikemanusiaan.

"Tindakan yang dilakukan oleh Israel itu diluar garis-garis diplomatik kerana menggunakan kekerasan dan melakukan tindakan di perairan antarabangsa yang tidak pernah selama ini dilakukan oleh mana-mana negara di dunia," katanya.


BERNAMA

Rabu, 2 Jun 2010

Demo Bantah Kekejaman Rejim Israel

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Demonstrasi Anti Israel anjuran Pakatan Rakyat dan NGO di hadapan Kedutaan Amerika, esok akan disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Pimpinan-pimpinan NGO dan wakil Konvoi Freedom Flotilla juga akan hadir bersama.
Sekretariat Mobilisasi Demontrasi Anti Israel 2010 juga memaklumkan demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru dan berarak ke Kedutaan Amerika.
Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, jurucakapnya, Herman Samsudeen memberitahu pihak penganjur tidak mengadakan apa-apa himpunan di Masjid KLCC atau Tabung Haji.
“Para peserta yang menyertai demonstrasi ini digalakkan membawa bendera Palestin, placard dan banner yang menunjukkan bantahan rakyat Malaysia secara aman,” katanya.
Katanya, sebarang keterangan lanjut bolehlah berhubung dengan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menerusi talian 0192828536.

sumber : Harakah

Ahad, 23 Mei 2010

Jantung

Jantung Terhenti Tiba-tiba



KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Para peminat bola sepak Liga Portugis di Guimaraes teruja apabila kelab bola sepak Lisbon, Benfica, mendahului lawannya Vitoria S.C 1-0.

Dalam perlawanan yang juga disiarkan secara langsung di televisyen pada 25 Jan, 2004, pemain Benfica, Miklos Feher menerima kad kuning semasa waktu kecederaan.

Semasa semua kamera menumpukan perhatian kepada pemain Hungary ini di padang dengan tiba-tiba beliau menunduk ke depan, wajahnya berkernyut kerana kesakitan dan beliau terus rebah di atas padang.

Perlawanan itu terhenti dengan rakan-rakan Feher meluru ke arahnya untuk membantu dan kakitangan perubatan juga mula mengerumuni striker itu dan melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Rakan-rakannya di padang itu begitu terkejut. Tidak lama kemudian diumumkan bahawa Feher, pada usia 24 tahun, mati kerana 'cardiac arrhythmia', iaitu fungsi jantung terhenti dengan tiba-tiba (SCA).

Kematian mengejut Feher, yang sebelum itu kelihatan begitu sihat bukan kes terpencil. SCA berlaku apabila jantung terhenti tiba-tiba, dan merupakan antara punca kematian paling lazim di negara-negara maju.

Ia merupakan satu masalah perubatan dengan 350,000 kematian setiap tahun di Eropah dan menjejaskan lebih 400,000 orang di Amerika Syarikat, dan mewakili 63 peratus daripada kesemua kematian yang berkaitan dengan jantung di Amerika Syarikat.

Dan menurut Dr Razali Omar - Pengarah Unit Elektrofisiologi & Perentakan, Institut JantunL Negara Kuala Lumpur, SCA membawa ancaman besar kepada semua.

BUKAN SERANGAN JANTUNG

Di sebalik tanggapan lazim, Dr Omar menunjukkan perbezaan penting antara SCA dan penyakit kardiovaskular lain.

"SCA BUKAN serangan jantung, yang dilihat sebagai masalah saluran darah tersumbat yang seterusnya menghalang aliran darah ke seluruh badan. Kekurangan darah menyebabkan otot jantung dan tisu granulasi (scar tissue) mengalami kerosakan kekal.

"Arrhythmia di sebaliknya berlaku kerana kepincangan sistem elektrik jantung. Jantung mempunyai sistem elektrik yang terbina di dalamnya, dan jika jantung itu tidak dikenakan kejutan elektrik dalam tempoh beberapa minit, kematian akan berlaku, dan hanya 10 hingga 20 peratus daripada mereka yang mengalami SCA terselamat," katanya.

Beliau menambah kata dalam sebuah jantung yang sihat perentak (pace-maker) semulajadi menyebabkan denyutan jantung, kemudian impuls elektrik melalui laluan tertentu dalam jantung, dan seterusnya menyebabkan jantung mengecut secara berkala untuk mengepam darah.

SCA berlaku apabila isyarat elektrik yang mengawal denyutan jantung terlewat atau terhalang.


IRITMA

Kegagalan fungsi jantung lazimnya berlaku kerana otot jantung rosak atau sudah regang, yang seringkali menjejaskan fungsi sistem elektrik yang mengawal pemasaan biasa denyutan jantung.

Apabila tubuh menyedari yang jantung gagal mengepam jumlah darah normal, jantung akan cuba percepat aktiviti mengepam untuk memampas kekurangan yang berlaku. Otot jantung yang rosak boleh menyebabkan denyutan jantung bertambah perlahan (bradycaria) atau bertambah cepat (tachycardia) atau tidak lagi secara berkala. Oleh itu, bukanlah luarbiasa untuk melihat pesakit jantung untuk mengalami SCA.

Lagipun, punca paling lazim serangan jantung dalam bentuk 'arrhythmia' dikenali sebagai 'ventricular fibrillation' (VF). Dalam VF, isyarat elektrik yang mengawal fungsi pam jantung bertambah cepat dan tidak lagi terkawal. Oleh sebab itu, ruang di bahagian bawah jantung iaitu ventrikel, mula bergegar (fibrilisasi) di sebalik mengecut.

Ini menyebabkan darah tidak lagi dapat dipam ke seluruh tubuh, yang memutuskan bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan orang yang terbabit tidak sedarkan diri. Selagi tidak dikenakan kejutan segera untuk mengembalikan ritma berkala (menggunakan mesin yang dikenali sebagai defibrillator), kematian boleh berlaku dalam beberapa minit.


PEMBUNUH SENYAP

Bukan seperti kebanyakan masalah jantung yang boleh dikenalpasti melalui simptom-simptom lazim, SCA merupakan pembunuh senyap. Saringan fizikal atau kecergasan lazimnya tidak dapat mengesan ciri-ciri yang boleh menyebabkan SCA, oleh itu ia juga boleh berlaku kepada individu yang sihat dan aktif tanpa sebarang rekod penyakit jantung.

Tetapi Dr Omar menjelaskan bahawa SCA bukanlah kejadian rambang dan kebanyakan mangsa tidak menunjukkan komplikasi berhubung kesihatan atau jantung mereka, walaupun mereka mungkin tidak mengetahuinya.

Beliau berkata apa-apa masalah jantung yang menjejaskan sistem elektrik jantung boleh menyebabkan 'arrhythmia'. Ini termasuk tabiat merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, penggunaan dadah tertentu dan sehinggakan tekanan emosi.

"Sebanyak 80 peratus daripada pesakit arteri koronari (keadaan di mana arteri yang membekalkan darah bertambah sempit atau tersumbat), 15 peratus daripada mereka dengan otot jantung berpenyakit dan 5 peratus daripada mereka dengan penyakit sel jantung menghadapi risiko tinggi terhadap penyakit ini. Sebanyak 75 peratus daripada mereka yang mati kerana SCA menunjukkan tanda-tanda serangan jantung pernah berlaku sebelumnya."

Dan tanpa sebarang amaran awal, 95 peratus daripada kesemua mangsa SCA akan mati di tempat kejadian, dan di Amerika Syarikat lebih 70 peratus daripada mangsa VF mati sebelum sempat sampai di hospital.


KEJUTAN PENYELAMAT


Dr Razali Omar, (duduk) memegang satu implantable cardioverter defibrillators (ICD).Pesakit-pesakit seperti Kang Kong Guan (berdiri) adakah sangat bermanfaat menggunakan ICD bagi mencegah jantung terhenti tiba-tiba (SCA) terutamanya pesakit-pesakit yang berisiko tinggi.

Melihatkan ketiadaan simptom, pencegahan merupakan pilihan berkesan dalam mengurangkan statistik bagi kematian SCA.

Terdapat beberapa pilihan, kata Dr Omar, antaranya ialah 'automatic external defibrillator (AED)' yang merupakan sebuah peranti elektronik bimbit yang menghentikan 'arrhythmia' dengan mengejutkan jantung. Ada negara yang menyediakan AED bagi kegunaan awam, khasnya di tempat-tempat awam seperti taman, sekolah dan pusat sukan.



'Virtuoso' adalah ICD untuk Kematian Mengejut. Pada berukuran 38 isipadu dan 68 gram, ICD ditanam di bawah kulit, di mana ia akan mengesan degupan jantung jika kadar denyutan menjadi luar biasa, ia akan menghantar satu kejutan elektrik untuk memulihkan ritma degupan normal jantung itu.

Ia boleh juga berfungsi seperti sebuah perentak jantung jika degupan jantung itu terlalu lambat.

Cardioverter defibrillators (ICD) yang boleh diimplan, sangat berkesan dalam mencegah SCD bagi mereka yang berisiko tinggi. ICD yang ditempatkan di bawah kulit, memantau jantung untuk mengesan apa-apa ritma luar biasa dan menyampaikan kejutan elektrik untuk mengembalikan ritma jantung. Ia juga boleh berfungsi sebagai perentak jika jantung berdenyut terlalu perlahan.

Bagi kegagalan jantung kongestif yang disebabkan oleh komplikasi berkaitan otot jantung, terapi penyerantakan semula kardiak digunakan. Terapi ini menggunakan sebuah perentak khusus untuk menyelaras semula fungsi ventrikel kiri dan kanan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.


PERLU BELAJAR CPR

Setiap saat penuh bermakna bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami SCA.

Sementara lebih 70 peratus daripada semua mangsa serangan jantung diselamatkan oleh 'defibrillator', Dr Omar menasihatkan supaya setiap orang belajar CPR yang boleh membantu jika tiada defibrilator berdekatan.

"Sudah pasti, CPR boleh menyelamatkan nyawa, dan penting untuk mengekalkan integriti otak bagi mangsa-mangsa SCA. Tidak kira anda pelajar sekolah atau warga emas, CPR harus dipelajari oleh semua. SCA boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja."

Dengan demografi pesakit pada Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan menunjukkan bahawa usia minimum bagi kegagalan jantung di negara ini ialah 18 tahun dan yang tertua ialah 100 tahun, adalah wajar kita memberi perhatian kepada masalah ini.

Sumber : BERNAMA


Jika anda minat artikel ini :
thanks1