Khamis, 3 Jun 2010

Tiada Penerbangan Khas


Tiada Penerbangan Khas Bawa Pulang Sukarelawan, Kata Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain melibatkan kos yang tinggi, setakat ini tiada permintaan untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.

"Jika nak bawa guna Charlie (pesawat pengangkut), kosnya tinggi... jadi saya tidak nampak sebarang keperluan itu buat masa ini selain tidak ada permintaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Transformasi Mindef di Kementerian Pertahanan di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua 12 sukarelawan Malaysia itu turut dibantu oleh Atase pertahanan Malaysia di Jordan sebaik dilepaskan dari tahanan tentera Israel.

"Selain diberikan makan minum, kesemua mereka turut diterangkan atase pertahanan tentang beberapa langkah yang perlu diambil untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Dalam kejadian itu, kapal Turki yang membawa bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan ke Gaza telah diserang tentera Israel ketika berada kira-kira 68 batu nautika di luar perairan negara itu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani turut berada dalam kapal tersebut dan mereka dibebaskan dan dibawa ke Jordan.

Zahid turut menggesa negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel agar mengkaji semula hubungan tersebut bagi menentang tindakan Israel yang telah bertindak di luar garis-garis diplomatik.

Beliau berkata masyarakat dunia bukan hanya perlu mengutuk tindakan Israel tetapi perlu bertindak menghentikan hubungan diplomatik dengan negara tersebut yang biadap dan tidak berperikemanusiaan.

"Tindakan yang dilakukan oleh Israel itu diluar garis-garis diplomatik kerana menggunakan kekerasan dan melakukan tindakan di perairan antarabangsa yang tidak pernah selama ini dilakukan oleh mana-mana negara di dunia," katanya.


BERNAMA

Rabu, 2 Jun 2010

Demo Bantah Kekejaman Rejim Israel

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Demonstrasi Anti Israel anjuran Pakatan Rakyat dan NGO di hadapan Kedutaan Amerika, esok akan disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Pimpinan-pimpinan NGO dan wakil Konvoi Freedom Flotilla juga akan hadir bersama.
Sekretariat Mobilisasi Demontrasi Anti Israel 2010 juga memaklumkan demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru dan berarak ke Kedutaan Amerika.
Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, jurucakapnya, Herman Samsudeen memberitahu pihak penganjur tidak mengadakan apa-apa himpunan di Masjid KLCC atau Tabung Haji.
“Para peserta yang menyertai demonstrasi ini digalakkan membawa bendera Palestin, placard dan banner yang menunjukkan bantahan rakyat Malaysia secara aman,” katanya.
Katanya, sebarang keterangan lanjut bolehlah berhubung dengan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menerusi talian 0192828536.

sumber : Harakah