Rabu, 20 Oktober 2010

Siswa UKM sertai raptai perhimpunan Umno?


Dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa turut mengambil bahagian dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Mahasiswa Sedar (KEMAS) mendakwa ia dapat mengecam kedua-dua mahasiswa UKM itu di dalam foto yang disiarkan akhbar Berita Harian pada hari berikutnya.

Perasmian perhimpunan agung Umno tahun ini akan disempurnakan oleh Presiden Umnno, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC esok.


KEMAS mendakwa mahasiswa terbabit adalah daripada Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan UKM.

"Kehadiran mereka ini juga berkaitan rapat dengan pernglibatan pentadbiran universiti dengan parti Umno," kata jurucakap KEMAS, Fathi Hisham (dua dari kiri) yang membaca satu kenyataan hari ini.

Katanya, KEMAS juga yakin penglibatan mahasiswa UKM dalam perhimpunan agung Umno kali ini melebihi dua orang.

Fathi yang juga pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata gambar tersebut menunjukkan mahasiswa terlibat memakai baju Melayu Putih, bersongkok dan bersampin yang mempunyai logo Umno.

Kejadian itu, katanya, adalah sama sepertimana kes mahasiswa yang telah dikenakan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) - Saudara Soh Sok Hua - yang dihukum kerana gambarnya tersiar di akhbar dengan memakai pakaian yang mempunyai logo parti politik beberapa tahun lalu.

Sementara itu, setiausaha KEMAS Syamir Zulkefli (Foto atas: yang pegang mikrofon) - dalam kenyataannya - menggesa pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan supaya segera menyiasat perkara ini mengikut undang-undang dan prosedur seharusnya.

Beliau juga mendesak agar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin supaya menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penglibatan pentadbiran universiti dan mahasiswa dalam perhimpunan agung Umno itu.

Sementara dalam sidang media selepas itu, Fathi berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara tersebut melalui sumber yang dipercayainya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah individu sebenar yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

"Mungkin satu pasukan diarahkan (menyertai perhimpunan)....Saya tidak mahu menyatakan (jumlahnya) pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini telah cuba menghubungi ketua penolong pendaftar kanan hal ehwal pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Bagaimanpun, Malaysiakini dimaklumkan oleh pejabatnya bahawa beliau sedang menghadiri bengkel di Sabah dan dijadualkan pulang esok. -M'kini

Sabtu, 16 Oktober 2010

Wajah Pemuda Yang Menikam Sosilawati Dan Tiga Yang Lain


Inilah remaja yang didakwa menikam sehingga mati kesemua mangsa dalam kes pembunuhan Sosilawati. Sekilas pandang, wajahnya tidaklah seganas perbuatan kejam yang dikatakan telah dilakukannya. Salah siapa dan apakah faktor yang menyebabkannya hilang pertimbangan sehingga sanggup menjadi pembunuh kejam?






Dua pekerja ladang, K.Sarawanan (kiri) dan U.Suresh dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bukti kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya di Mahkamah Majistret, Telok Datok, Banting di sini hari ini.


Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa.


Kesemua suspek yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan Sosilawati dan 3 yang lain.


Petikan berita berkaitan:
[HM] ...Sarawanan didakwa menghilangkan bukti yang menjadi satu kesalahan serius dengan sengaja membakar mayat keempat-empat mangsa dengan niat untuk mengelakkan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada jam 9.45 malam hingga jam 12 tengah malam, 30 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, Sarawanan didakwa melihat keempat-empat mangsa dibunuh Thilaiyalagan. Dia diarahkan Thilaiyalagan dan Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah pekerja ladang.

Tertuduh kemudian membawa dua tong putih dan menyerahkan kepada Thilaiyalagan dan Matan sebelum ketiga-tiga mereka mengangkat mayat semua mangsa untuk diletakkan di atas longgokan kayu yang sudah disusun.

Ketiga-tiga mereka juga menyusun kayu di atas keempat-empat mangsa sebelum mencurahkan minyak. Tertuduh bersama Matan membakar semua mayat itu.

Suresh pula didakwa menghilangkan bukti berkaitan kesalahan tertuduh utama dengan sengaja membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting, pada masa dan tarikh sama, juga bagi mengelakkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.

Sumber gambar: Berita Harian/H Metro

Khamis, 14 Oktober 2010

Pintu hati dibuka Allah





“KALAU kita hebat di dunia, kalau masuk ke dalam neraka, ia tidak berbaloi,” demikian ucap pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah yang juga pemegang gelaran tokoh Maal Hijrah 1429 peringkat Selangor tatkala membahas tentang ‘Mencari Jalan Pulang.’

Tidak dinafikan, ringkas kata sosok terkenal berusia 59 tahun itu. Hakikatnya, ia mampu meninggalkan bekas di hati sesiapa sahaja mendengar. Topik yang dikupas, sedikit sebanyak berupaya mengingatkan orang lain supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat.

Cuma satu pesannya: “Sekali kita sudah bertaubat dan tidak mengulangi dosa silam, jangan pula kita menghina orang lain. Selami dengan sebetulnya jiwa sendiri agar dapat mencari jalan pulang yang diredhai oleh Allah Taala. Itu lebih indah daripada segala-galanya.”

Tidak sekadar menitipkan kata-kata hikmat itu kepada dua individu berada di depannya - Datuk Malek Nor dan Amy Search, Fadzilah juga sempat mengisyarat luahan tersebut kepada seluruh umat Islam terutama yang mendapat petunjuk untuk pulang semula kepada-Nya.

Bertempat di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu, Fadzilah yang diberi mandat selaku pengemudi program bual bicara, Selami Jiwa di saluran Oasis (106) mengundang Malek dan Amy sambil berkongsi segenap emosi tentang pengertian penghijrahan.

Fadzilah yang membenihkan karier sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1977 mengaku kehebatan Malek dan Amy. Masakan tidak, mereka mengamal dasar keterbukaan untuk berkongsi perjalanan hidup masing-masing yang sifatnya pernah gelap.

“Saya bangga apabila golongan selebriti terutama seperti Malek dan Amy yang sudi bercerita tentang masa silam mereka. Malah, saya dapati ada artis lain, sedikit demi sedikit mula ada keberanian menyuarakan isi hati sendiri dengan tujuan menjadikan ia sebagai pengajaran.


PROGRAM temu bual terbaru kelolaan Dr. Fadzilah Kamsah ini mempunyai matlamat yang murnia dalam membina semula sahsiah dan jati diri umat Islam.


“Cuma nasihat saya, kita harus menyokong keputusan yang mereka lakukan. Selain itu, perubahan dalam diri perlu dikongsi dengan orang-orang tersayang. Dalam masa sama, kita kena ada guru, beli pelbagai kitab dan cari orang tertentu untuk dirujuk dari semasa ke semasa.

“Saya sendiri ada 70 nombor individu dalam telefon bimbit untuk dijadikan rujukan pada bila-bila masa jika menghadapi sebarang persoalan. Dan penting, kita kena memperbetulkan persekitaran dengan memilih kawan supaya tidak lagi mengulangi kesilapan ataupun dosa lalu."

Sementara itu, Malek dan Amy yang kelihatan khusyuk menerima segala maklumat yang disalurkan daripada Fadzilah tidak ketinggalan meluah kelainan dirasai dalam diri selepas mengambil kata putus untuk merealisasikan transisi kepada-Nya. Satu persatu dimuntahkan waima bunyinya agak personal.

Dikelar besi panas

Umum mengetahui, penama lengkap Abdul Malek Mohamad Noor atau Malek, 54, mula melewati hidup sebagai pengikut Islam sejati sejak lapan tahun lepas.

Selepas satu demi satu musibah melanda, gerak hatinya berbisik, itu barangkali ujian Allah agar kembali menjadi sebenar Muslim.

Ironinya, selepas tergelincir jauh dari landasan dan tidak mempedulikan Allah sewaktu berada di tengah kota Hong Kong dan Amerika Syarikat awal 90-an, tahun 2002 menjadi saksi apabila jiwa semakin menua itu acapkali tidak tenang biar hidup berbalut kemewahan duniawi.

Didatangi pelbagai mimpi ngeri hampir setiap malam Jumaat termasuk dibakar api neraka, tubuhnya dikelar dengan besi panas, kemuncak Malek mengubah diri saat laungan azan Maghrib berkumandang di balkoni kediamannya yang menghadap Menara Berkembar Petronas.


AMY dan Malek Noor merupakan dua ikon yang meraih populariti dan menjadi pujaan dalam bidang glamor masing-masing.


Masa terus berlalu. Saat anak jati Batu Pahat, Johor itu kini menyerahkan seluruh hidupnya kepada Yang Maha Kuasa, dia mengalami mimpi didatangi arwah ibu, Jairiah Alias menaburkan bunga emas kepadanya dan memimpin ke Masjidil Haram lalu bersujud di depan Kaabah.

Sambil air mata jantannya gugur, ujar Malek, mimpi dialami ini cukup indah sekali gus menyedarkan diri bahawa ibu dan ayahnya yang telah meninggal dunia sentiasa ‘mendoakan’ si anak dari alam kubur. Lantaran itu, tidak hairan apabila kalimat syukur sentiasa terpacul dari bibirnya.

“Saya percaya, doa ibu dari alam barzakh meniupkan semangat ini untuk mendekatkan diri kepada Allah. Diakui, mengambil keputusan untuk bertaubat susah dan ia tidak punya persediaan. Kerana itu, sekali kita ingin kembali kepada Tuhan, kita nekad insaf selama-lamanya.

“Kini, saya puas dengan kehidupan baru. Meski hidup bersendirian selepas dua kali mengalami penceraian, saya mahu bercinta sepenuhnya dengan Allah. Apa jua dilakukan termasuk makan, tidur, memandu, bekerja, keluar rumah dan lain-lain, semua bersama dengan-Nya.

“Sejujurnya, saya tidak minta orang lain bertaubat dan mengikut seperti apa dilakukan ini. Tetapi, tugas saya hanya mahu membuka pintu sedikit kepada orang lain untuk melihat dunia dan akhirat,” tutur Malek yang enggan lagi berhambakan wang ringgit dan material.

Kelahiran semula

Berbeza pengalaman daripada Malek, vokalis kumpulan rock tersohor Search, Amy, awal-awal lagi merasai kelainan dalam diri selepas bergelut dalam belantika muzik tanah air sejak tiga dekad lalu. Pelbagai persoalan melintang di kotak fikirnya tanpa mampu ditolak.


FADZILAH KAMSAH mempunyai 70 individu berlainan sebagai rujukan terhadap sebarang persoalan tentang kehidupan.


Jelas pemilik nama berdaftar Suhaimi Abdul Rahman, sepanjang bergelar penyanyi dan tingginya populariti diraih, setiap malam sebelum matanya dapat lelap dengan sempurna, dia sering tertanya kepada diri tentang penamat kepada jalan yang diinginkan dalam hidup.

“Hati saya meronta ingin kelahiran semula dan hidup hakiki yang dicintai. Bayangkan, apa jua diminta, Dia beri kepada saya. Situasi ini berlarutan dan saya akui memang tidak mendapat kebahagiaan. Melalui satu proses penceraian dan berlaku lagi dalam rumah tangga.

“Tidak terkecuali, saya mengidam untuk ada anak lelaki dalam hidup. Dalam pada itu, saya bertemu wanita yang kini menjadi isteri. Enggan ambil waktu panjang, saya terus bernikah. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, kami dikurniakan dengan cahaya mata lelaki.

“Kemuncaknya, saya menunaikan umrah buat kali pertama pada tahun 2007 sambil depan Kaabah terfikir kenapa Dia menganugerahkan bakat seni ini. Akhirnya, saya sedar, suara ini sebagai tanggungjawab kepada orang lain,” ucap Amy dengan getar suara perlahan.

Usai pulang dari Tanah Suci, pelantun lagu Isabella itu terdorong untuk menjalani penghijrahan. Tambah lelaki berusia 52 tahun itu, dia seperti menjalani fasa penyucian di rumah Allah sehinggakan menikmati perasaan sukar terucap dengan kata biasa.

“Rupa-rupanya, setelah diimbas kembali, lagu-lagu saya nyanyikan selama ini ada maksud mendalam. Malah, Dia menguji saya dengan ujian yang tidak terpandang termasuk pernah ditipu wang ringgit sehingga menangisi insiden berlaku akibat terlampau kecewa.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana selepas tiga tahun lalu, akhirnya saya mula nampak apa yang diingini dalam hidup. Kalau ada duit banyak sekalipun, ia tetap tidak beri kebahagiaan sebenar. Jiwa kita yang seharusnya ada cinta kepada Dia,” luah Amy.

Oleh FAIZAL SAHARUNI
faizal.saharuni@kosmo.com.my

Rabu, 13 Oktober 2010

Rakan Sosial

Berita Membimbangkan UMNO?

Percaya atau tidak - rakyat Malaysia mempunyai rakan paling ramai dan pengguna utama di rangkaian laman sosial di dunia.

Ini adalah berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan oleh firma pemasaran antarabangsa, TNS yang memantau gelagat dan tabiat orang ramai di internet.

Rakayat Malaysia secara purata mempunyai 233 rakan digital dan ini diikuti 231 di Brazil dan 217 di Norway.

Mereka yang paling kurang rakan digital adalah di Jepun dengan hanya 29 kawan diikuti dengan 38 di Tanzania dan 50 di Korea Selatan.

Ketua Pegawai Pembangunan TNS, Matthew Froggatt berkata keputudsan itu mungkin menunjukkan 'budaya yang tidak ramai rakan tetapi persahabatan yang erat” di negara-negara berkenaan.

“Pengguna China pula secara purata mempunyai 68 kawan di rangkaian mereka di sebalik merupakan pengguna utama di laman sosial,” Froggatt.

Selain mempunyai rakan yang paling ramai, rakyat Malaysia juga menghabiskan masa yang paling lama di internet - purata sembilan jam setiap minggu melayari laman sosial berkenaan.

Warga Russia menduduki tangga kedua dengan purata 8.1 jam setiap minggu dan dikuti oleh rakyat Turki dengan 7.7 jam setiap minggu.

Malaysiakini
, portal berita utama negara ini, sehingga hari ini mempunyai 72,954 peminat Facebook dengan seksyen bahasa Cina mempunyai 36,022 pengikut dan disusuli oleh laman berbahasa Melayu(22,131) dan bahasa Inggeris (13,901).

Selasa, 12 Oktober 2010

Tok Guru Pergi Haji

Tok Guru Akan Tunai Haji Bersama Sultan Mohamad Ke V



HASRAT Tok Guruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan fardu haji tahun lepas yang terhalang atas kehendak Allah juga inysaAllah akan tertunai pada musim haji kali ini. Tok Guru dijangka akan berangkat ke Makkah awal bulan depan. Tarikh pemergian beliau masih belum ditetapkan.

Maklumat yang diterima dari sumber tertentu sama dengan maklumat yang diterima dari Kuala Lumpur. Jadual penerbangan beliau sedang diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Seorang kakitangan Tabung Haji memberi tahu tarikh pemergian itu sekitar 9 atau 10 November. Ini bermakna selepas pilihan raya kecil Galas sekiranya ia berlaku pada 4 Nov.

Apa lebih mengharukan dan manisnya lagi pemergian beliau bersama dengan Tuanku Sultan Mohamed Ke- V. Samada pemergian itu bersama atau satu rombongan tidak dapat disahkan. Sumber-sumber memberi tahu Sultan Mohamad Ke V juga akan berangkat menunaikan haji pada tahun ini.

Ada hikmah besar kenapa Allah menggerak hati orang tertentu mencetuskan isu pemergian Tok Guru ke Makkah tahun selepas sehingga beliau membatalkan pemergian itu dalam keadaan sedih. Rupa-rupanya Tok Guru akan mengeliling Kaabah bersama banginda Sultan Mohamad Ke V, Tengku Mohammad Faris Petra.

Sama-sama kita mendoakan semoga Tok Guru diberikan kesihatan dan kekuatan untuk ke Makkah. Muda-mudahan tidak adalah pula sesiapa yang cuba mempolitikkan pemergian beliau kali ini. Selamat berangkat Tok Guru!.

Kes Aminulrasyid

Kes Aminulrasyid : 19 peluru ditemui di kawasan tembakan

Photobucket

SHAH ALAM, 12 Okt — Sebanyak 19 butir peluru ditemui di kawasan perumahan di Seksyen 11 di sini — tempat di mana remaja Aminulrasyid Amzah, 15, ditembak mati oleh anggota polis enam bulan lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu hari ini.

Empat saksi memberi keterangan di mahkamah hari ini, hari pertama perbicaraan. Perbicaraan akan berlangsung sehingga 11 November ini.

Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga petang ini selepas jurugambar forensik polis Mokhtar Hussein memberikan keterangan.


Pada 10 Mei lepas, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pagi tadi, perbicaraan kes bermula dengan seorang anggota polis dipanggil untuk menceritakan apa yang terjadi pada malam kejadian.

Saksi pertama perbicaraan hari ini adalah Lans Koperal Mohd Sabri Salleh dari Balai Polis Shah Alam.

Dia berkata dia menerima panggilan daripada kereta peronda yang dinaiki Jenain pada pukul 1.45 pagi memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.

Kereta peronda berkenaan memohon bantuan Mohd Sabri bagi menghentikan kereta tersebut dan memaklumkan sedang mengejar kereta itu dari Hotel Concorde ke Bulatan Kayangan.

Dia kemudian menghubungi telefon bimbit Jenain dan dimaklumkan bahawa kereta Iswara itu hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2.

Mohd Sabri kemudian berkata, Jenain menyuruhnya menghubungi ambulans untuk membantu pemandu kereta Iswara itu.

Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzani Abdul Wahab yang dihantar ke tempat kejadian berkata, dia mengambil 41 gambar kereta Iswara itu dan Aminulrasyid termasuk peluru, pokok patah dan juga jalan.

Jenain diwakili oleh peguam bela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan Mohd Dusuki Mokhtar, lima saksi akan dipanggil dan dijangka perbicaraan itu akan mengambil masa selama 11 hari.
The Malaysian Insider

Wang judi

Wang judi: Warga emas tolak fitnah Umno

BUTTERWORTH, 12 Okt: Warga emas sekitar Seberang Perai Utara mengatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta meminta meneruskan program penghargaan kepada golongan veteran pada masa depan.

Seramai 70 orang warga emas yang datang dari Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan lain turut kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang tiba-tiba mengajak mereka mengembalikan RM100 dan RM1,000 untuk para waris jika terdapat kematian warga emas kononnya berpunca dari wang judi.

Bagi mereka, semua itu merupakan mainan politik jahat yang sengaja dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican yang menuduh pemberian wang pada pertengahan tahun ini berpunca dari wang Kelab Lumba Kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man pula meminta warga emas usah terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang negeri ini yang sudah kehabisan modal.

Beliau berkata, sebenarnya wang itu adalah lebihan perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun ini sebanyak RM88 juta dan RM20 juta diperuntukkan kepada warga emas sebagai menghargai pengorbanan mereka terhadap kemajuan Pulau Pinang.

"Wang hasil pemberikan Lumba Kuda memang ada tapi ia tidak dimasukkan pada tabung sumbangan kepada warga emas sebaliknya digunakan untuk Rancangan Anti Kemiskinan (RAK) khas untuk masyarakat bukan Islam, " jelasnya lagi.

Seorang warga emas, Zainab Mat (kanan) dari Butterworth menyifatkan, apa yang diperjelaskan oleh kerajaan negeri cukup meyakinkan bahawa semua itu pembohongan.

"Bila datang mendengar sendiri keterangan yang disampaikan oleh Adun dan Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) baru tahu hal sebenar," ujarnya.

Bekas ahli Umno, Abu Bakar Said (kiri) dari Bagan Ajam pula menambah, di zaman BN tidak pernah berlaku ketua menteri melawat surau atau masjid tetapi berlaku di era kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Bila KM sendiri turun padang menziarahi umat Islam di samping memberikan penghargaan warga emas, ia satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Bagi Sambasivam (kanan) pula, kini baru beliau tahu hal sebenar mengenai perkara itu kerana selama ini mendengar sebelah pihak sahaja.

Sesi penerangan untuk menolak fitnah Umno itu diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng. -Hrkh