Ahad, 23 Mei 2010

Jantung

Jantung Terhenti Tiba-tiba



KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Para peminat bola sepak Liga Portugis di Guimaraes teruja apabila kelab bola sepak Lisbon, Benfica, mendahului lawannya Vitoria S.C 1-0.

Dalam perlawanan yang juga disiarkan secara langsung di televisyen pada 25 Jan, 2004, pemain Benfica, Miklos Feher menerima kad kuning semasa waktu kecederaan.

Semasa semua kamera menumpukan perhatian kepada pemain Hungary ini di padang dengan tiba-tiba beliau menunduk ke depan, wajahnya berkernyut kerana kesakitan dan beliau terus rebah di atas padang.

Perlawanan itu terhenti dengan rakan-rakan Feher meluru ke arahnya untuk membantu dan kakitangan perubatan juga mula mengerumuni striker itu dan melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Rakan-rakannya di padang itu begitu terkejut. Tidak lama kemudian diumumkan bahawa Feher, pada usia 24 tahun, mati kerana 'cardiac arrhythmia', iaitu fungsi jantung terhenti dengan tiba-tiba (SCA).

Kematian mengejut Feher, yang sebelum itu kelihatan begitu sihat bukan kes terpencil. SCA berlaku apabila jantung terhenti tiba-tiba, dan merupakan antara punca kematian paling lazim di negara-negara maju.

Ia merupakan satu masalah perubatan dengan 350,000 kematian setiap tahun di Eropah dan menjejaskan lebih 400,000 orang di Amerika Syarikat, dan mewakili 63 peratus daripada kesemua kematian yang berkaitan dengan jantung di Amerika Syarikat.

Dan menurut Dr Razali Omar - Pengarah Unit Elektrofisiologi & Perentakan, Institut JantunL Negara Kuala Lumpur, SCA membawa ancaman besar kepada semua.

BUKAN SERANGAN JANTUNG

Di sebalik tanggapan lazim, Dr Omar menunjukkan perbezaan penting antara SCA dan penyakit kardiovaskular lain.

"SCA BUKAN serangan jantung, yang dilihat sebagai masalah saluran darah tersumbat yang seterusnya menghalang aliran darah ke seluruh badan. Kekurangan darah menyebabkan otot jantung dan tisu granulasi (scar tissue) mengalami kerosakan kekal.

"Arrhythmia di sebaliknya berlaku kerana kepincangan sistem elektrik jantung. Jantung mempunyai sistem elektrik yang terbina di dalamnya, dan jika jantung itu tidak dikenakan kejutan elektrik dalam tempoh beberapa minit, kematian akan berlaku, dan hanya 10 hingga 20 peratus daripada mereka yang mengalami SCA terselamat," katanya.

Beliau menambah kata dalam sebuah jantung yang sihat perentak (pace-maker) semulajadi menyebabkan denyutan jantung, kemudian impuls elektrik melalui laluan tertentu dalam jantung, dan seterusnya menyebabkan jantung mengecut secara berkala untuk mengepam darah.

SCA berlaku apabila isyarat elektrik yang mengawal denyutan jantung terlewat atau terhalang.


IRITMA

Kegagalan fungsi jantung lazimnya berlaku kerana otot jantung rosak atau sudah regang, yang seringkali menjejaskan fungsi sistem elektrik yang mengawal pemasaan biasa denyutan jantung.

Apabila tubuh menyedari yang jantung gagal mengepam jumlah darah normal, jantung akan cuba percepat aktiviti mengepam untuk memampas kekurangan yang berlaku. Otot jantung yang rosak boleh menyebabkan denyutan jantung bertambah perlahan (bradycaria) atau bertambah cepat (tachycardia) atau tidak lagi secara berkala. Oleh itu, bukanlah luarbiasa untuk melihat pesakit jantung untuk mengalami SCA.

Lagipun, punca paling lazim serangan jantung dalam bentuk 'arrhythmia' dikenali sebagai 'ventricular fibrillation' (VF). Dalam VF, isyarat elektrik yang mengawal fungsi pam jantung bertambah cepat dan tidak lagi terkawal. Oleh sebab itu, ruang di bahagian bawah jantung iaitu ventrikel, mula bergegar (fibrilisasi) di sebalik mengecut.

Ini menyebabkan darah tidak lagi dapat dipam ke seluruh tubuh, yang memutuskan bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan orang yang terbabit tidak sedarkan diri. Selagi tidak dikenakan kejutan segera untuk mengembalikan ritma berkala (menggunakan mesin yang dikenali sebagai defibrillator), kematian boleh berlaku dalam beberapa minit.


PEMBUNUH SENYAP

Bukan seperti kebanyakan masalah jantung yang boleh dikenalpasti melalui simptom-simptom lazim, SCA merupakan pembunuh senyap. Saringan fizikal atau kecergasan lazimnya tidak dapat mengesan ciri-ciri yang boleh menyebabkan SCA, oleh itu ia juga boleh berlaku kepada individu yang sihat dan aktif tanpa sebarang rekod penyakit jantung.

Tetapi Dr Omar menjelaskan bahawa SCA bukanlah kejadian rambang dan kebanyakan mangsa tidak menunjukkan komplikasi berhubung kesihatan atau jantung mereka, walaupun mereka mungkin tidak mengetahuinya.

Beliau berkata apa-apa masalah jantung yang menjejaskan sistem elektrik jantung boleh menyebabkan 'arrhythmia'. Ini termasuk tabiat merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, penggunaan dadah tertentu dan sehinggakan tekanan emosi.

"Sebanyak 80 peratus daripada pesakit arteri koronari (keadaan di mana arteri yang membekalkan darah bertambah sempit atau tersumbat), 15 peratus daripada mereka dengan otot jantung berpenyakit dan 5 peratus daripada mereka dengan penyakit sel jantung menghadapi risiko tinggi terhadap penyakit ini. Sebanyak 75 peratus daripada mereka yang mati kerana SCA menunjukkan tanda-tanda serangan jantung pernah berlaku sebelumnya."

Dan tanpa sebarang amaran awal, 95 peratus daripada kesemua mangsa SCA akan mati di tempat kejadian, dan di Amerika Syarikat lebih 70 peratus daripada mangsa VF mati sebelum sempat sampai di hospital.


KEJUTAN PENYELAMAT


Dr Razali Omar, (duduk) memegang satu implantable cardioverter defibrillators (ICD).Pesakit-pesakit seperti Kang Kong Guan (berdiri) adakah sangat bermanfaat menggunakan ICD bagi mencegah jantung terhenti tiba-tiba (SCA) terutamanya pesakit-pesakit yang berisiko tinggi.

Melihatkan ketiadaan simptom, pencegahan merupakan pilihan berkesan dalam mengurangkan statistik bagi kematian SCA.

Terdapat beberapa pilihan, kata Dr Omar, antaranya ialah 'automatic external defibrillator (AED)' yang merupakan sebuah peranti elektronik bimbit yang menghentikan 'arrhythmia' dengan mengejutkan jantung. Ada negara yang menyediakan AED bagi kegunaan awam, khasnya di tempat-tempat awam seperti taman, sekolah dan pusat sukan.



'Virtuoso' adalah ICD untuk Kematian Mengejut. Pada berukuran 38 isipadu dan 68 gram, ICD ditanam di bawah kulit, di mana ia akan mengesan degupan jantung jika kadar denyutan menjadi luar biasa, ia akan menghantar satu kejutan elektrik untuk memulihkan ritma degupan normal jantung itu.

Ia boleh juga berfungsi seperti sebuah perentak jantung jika degupan jantung itu terlalu lambat.

Cardioverter defibrillators (ICD) yang boleh diimplan, sangat berkesan dalam mencegah SCD bagi mereka yang berisiko tinggi. ICD yang ditempatkan di bawah kulit, memantau jantung untuk mengesan apa-apa ritma luar biasa dan menyampaikan kejutan elektrik untuk mengembalikan ritma jantung. Ia juga boleh berfungsi sebagai perentak jika jantung berdenyut terlalu perlahan.

Bagi kegagalan jantung kongestif yang disebabkan oleh komplikasi berkaitan otot jantung, terapi penyerantakan semula kardiak digunakan. Terapi ini menggunakan sebuah perentak khusus untuk menyelaras semula fungsi ventrikel kiri dan kanan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.


PERLU BELAJAR CPR

Setiap saat penuh bermakna bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami SCA.

Sementara lebih 70 peratus daripada semua mangsa serangan jantung diselamatkan oleh 'defibrillator', Dr Omar menasihatkan supaya setiap orang belajar CPR yang boleh membantu jika tiada defibrilator berdekatan.

"Sudah pasti, CPR boleh menyelamatkan nyawa, dan penting untuk mengekalkan integriti otak bagi mangsa-mangsa SCA. Tidak kira anda pelajar sekolah atau warga emas, CPR harus dipelajari oleh semua. SCA boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja."

Dengan demografi pesakit pada Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan menunjukkan bahawa usia minimum bagi kegagalan jantung di negara ini ialah 18 tahun dan yang tertua ialah 100 tahun, adalah wajar kita memberi perhatian kepada masalah ini.

Sumber : BERNAMA


Jika anda minat artikel ini :
thanks1

Isnin, 17 Mei 2010

PRK Sibu

Sibu: Sokongan Melayu untuk Pakatan meningkat
Harakahdaily

ANALISIS KUALA LUMPUR, 17 Mei: Menjelang pilihan raya kecil Sibu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin dengan bongkaknya berkata, PKR bermakna Parti Kian Runtuh. Namun, belum sempat keputusan pilihan raya Sibu diumumkan secara rasmi, Muhyidin sudah terbang pulang ke Kuala Lumpur selepas sedar pengundi Sibu menolak BN.

Cakap sombong Muhyidin ditempelak pengundi Sibu beberapa jam sahaja selepas itu apabila calon BN, Robert Lau Hui Yew kalah dalam pilihan raya kecil ini. BN kalah 398 undi walaupun dalam pilihan raya lalu calon BN, Robert Lau Senior menang dengan majoriti lebih 3200 undi.

"Walaupun dalam pilihan raya kecil ini DAP menang 398 undi sahaja tetapi memandangkan BN menang 3,200 lebih dalam pilihan raya umum lalu, ia satu swing yang besar," kata seorang penganalisis politik dari UKM dalam program Analisis di Astro Awani malam tadi.

Yang menarik juga dalam pilihan raya ini, peningkatan besar sokongan pengundi Melayu kepada calon DAP kali ini. Ia memberikan satu indikasi baru bahawa Melayu tidak lari dari Pakatan bahkan sokongan mereka meningkat terhadap Pakatan hatta DAP sekalipun.

Di Kampung Hilir Nangka, Sibu, tempat majoriti Melayu Melanau, DAP berjaya menaikkan undinya sebanyak 34% berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008 lalu. Calon BN juga berjaya menaikkan undinya tetapi sedikit sahaja iaitu 12%.

Dalam pilihan raya lalu, calon DAP hanya mendapat 256 undi tetapi kali ini calonnya, Wong Ho Leng menambahkan undinya kepada 344 undi. Walaupun jumlah undi yang diperolehi oleh BN lebih besar tetapi peningkatan ini amat ketara memandangkan serangan perkauman yang dimainkan oleh Umno melalui NGOnya terhadap Pakatan.

Di peringkat Pusat, Perkasa memainkan peranannya. Di Terengganu pula Gertak pula memainkan peranannya untuk memainkan sentimen perkauman Melayu Umno melalui program 13 Mei yang telah dibatalkan selepas didedahkan PAS.

Terbukti pilihan raya kecil ini memberikan pengajaran besar kepada Umno bahawa sentimen perkauman tidak boleh menyelamatkan BN. Ia hanya untuk kepentingan peribadi Umno sahaja. Ini kerana, ketika Umno memainkan sentimen perkauman, parti-parti komponen BN yang mengalami masalahnya.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina juga menambahkan sokongan mereka kepada DAP. Kalau diambil sampel di kawasan pilihan raya Rejang Park iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

DAP hanya kurang undi mereka di kawasan majoriti Iban namun penurunannya tidaklah ketara sangat iaitu 12% sahaja. Mungkin ini adalah kesan dari kongkongan yang dibuat oleh petugas BN di kawasan pilihan raya ini. Para pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu membuat laporan petugas mereka disekat dari memasuki rumah-rumah panjang tempat tinggal pengundi Iban.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, petugas PAS sendiri terasa sekatan ini apabila bilik yang disewa petugas PAS telah ditarik balik.

"Apabila petugas kita pergi untuk persiapan hari mengundi, ada pihak yang menyekat kita masuk ke rumah panjang itu walaupun kita sudah sewa salah satu biliknya untuk petugas kita," kata Mustafa kepada Harakahdaily. Mustafa telah berada di Sibu seawal hari pengenalan calon DAP lagi. Sejak itu, dia berulang alik antara KL dan Sibu. Beliau baru sahaja pulang dari Sibu dan bertemu dengan Harakahdaily sehari selepas hari mengundi1.

Pada awalnya, Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Rahim yang mengetuai petugas PAS di sana namun selepas deman dan pulang ke Kota Bharu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS, Nasir Daud mengambil alih tugas beliau mengkoordinatorkan petugas PAS di sana.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Mariah Mahmud kekal berada di Sibu sejak sebelum hari penamaan calon hinggalah ke hari mengundi. Peranan beliau bersama Muslimat PAS menganjurkan pelbagai jenis program diakui oleh jentera DAP sendiri.

Para pemimpin PAS pula silih berganti datang. Hanya Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak dapat datang namun telah mengirimkan amanatnya. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula diberikan tepukan gemuruh dan standing ovation oleh para pengundi ketika beliau berucap di majlis kempen terakhir Pakatan.

Kesemua mereka berpusat di sebuah rumah yang dijadikan markas PAS di Kampung Hilir dalam Dun Nangka. Hampir semua pemimpin PAS, PKR da DAP ke rumah itu memandangkan kedudukannya yang sangat strategik di Sibu.

Dengan kemenangan di Sibu, Mustafa yakin adalah sukar untuk mana-mana pihak memecahkan semangat setiakawan Pakatan khasnya antara DAP dan PAS.

"Pilihan raya Sibu telah menjadi sangat manis apabila melihat petugas kita menjalankan tugas dengan baik dan DAP pula memberikan sepenuh keyakinan kepada mereka.

"Yang manis lagi, selepas berpenat lelah, kita diberikan kemenangan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, tumpuan PAS adalah untuk menghadapi serangan Umno di kalangan orang Melayu pula. Mustafa sedar, Umno telah menjadikan orang Melayu sebagai sasaran mereka.

"Umno nampaknya berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya dengan cara mendapatkan sokongan orang Melayu seramai mungkin hatta melalui tindakan perkauman mereka walaupun boleh menyebabkan rakan-rakan mereka dalam BN hilang sokongan

"Kelebihan kita adalah kita berpolitik berasaskan Islam bukan Melayu. Bila Islam, kita konsisten dalam menentukan sikap. Umno pula membuat sikap politik berdasarkan Melayu," kata Mustafa mengulas isu nama Allah yang turut menjadi isu panas di Sibu.

PAS kini sedang membuat persiapan untuk membuat retreat khas bagi membincangkan isu pengundi Melayu ini. Mereka yakin, sokongan pengundi Islam akan kekal bersama PAS kerana terbukti Umno hanya mahu mengekalkan kuasa semata-mata sebagaimana di Sibu.

Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan juta untuk pengundi Cina tetapi mengabaikan begitu sahaja pengundi Melayu di Sibu membuktikan perkara ini.

"Sebab itu saya katakan kepada pengundi Sibu, jika mereka inginkan pembangunan kalahkan BN. Ketika itu mereka akan datang dan berbuat apa sahaja untuk dapatkan kembali sokongan," kata Mustafa.

Ahad, 2 Mei 2010

Husam mahu penjelasan Najib

Serah Wilayah : Husam mahu penjelasan Najib

Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelasakan kepada rakyat berhubung bagaimana kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 bersetuju menyerahkan sempadan laut yang mempunyai medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei.Dalam surat terbuka yang penuh persoalan kepada Najib, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa turut mempersoal, kenapa Malaysia terlalu mudah melepasakan dua blok minyak di kawasan bertindih itu."Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?"Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?"Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?" soalnya dalam surat tersebut.Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.Husam yang juga AJK PAS Pusat turu mempersoal, kenapa tiada penjelasan parlimen dibuat dan rakyat pula tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat kerajaan itu.Menurutnya, segalanya terbongkar hanya apabila Murphy Oil kepada NYSE membuat kenyataan selepas konsensinya dibatalkan."Rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat."Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?" soalnya lagi.Penyerahan itu juga jelas Husam menimbulkan keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat."Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendedahkan perkara itu mendakwa jumlah kerugian akibat penyerahan itu dalam bentuk perolehan adalah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Pengundi tak puas hati buat laporan polis


pengundi Hulu Selangor yang tidak puas hati hari ini membuat laporan polis berhubung pengagihan wang tunai yang didakwa tidak setara dalam pilihan raya kecil parlimen itu Ahad lalu.

Ditemui di ibu pejabat polis di Kuala Kubu Bharu, wakil pengundi itu, Othman Moin berkata seramai 10 Orang Asli dari pelbagai kawasan di parlimen tersebut telah membuat laporan polis tersebut.

"Hari ini mereka berada di sini kerana tidak berpuashati dengan cara pengagihan wang tunai diuruskan... aduan mereka menyentuh pelbagai perkara," kata Othman (kanan, berjaket).

Beliau menambah, ada dari kalangan mereka kecewa apabila wang tunai untuk mengundi pihak tertentu seperti yang diarahkan tidak ditunaikan dan ada juga datang ke situ kerana mereka diugut.

Othman memberitahu terdapat 10 laporan polis dibuat. Bagaimanapun hanya seorang sahaja yang kelihatan memegang salinan laporan polis itu.

Menurut Chambah Mohamad, 53, dari Kampung Orang Asli di Serendah pula, pihak pengurusan pengundian di kampungnya menjanjikan wang tunai sejumlah RM100 setiap orang selepas mengundi. - M'kini